Thursday, May 11, 2017

Kenali Kapten LRT Nur Aina

PETALING JAYA: Siapa sangka, seawal usia 21 tahun, gadis ini telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan tren Transit Aliran Ringan (LRT).
Setiap hari, selama 10 jam, Nur Aina Asmida Jamaluddin perlu bertanggungjawab ke atas tren enam gerabak yang boleh memuatkan lebih kurang 1,200 penumpang dalam satu masa.
Beliau yang berkhidmat dengan Rapid Rail Sdn Bhd bermula Februari lalu kini menjadi pekerja wanita termuda di syarikat itu yang memegang peranan sebagai kapten LRT atau pegawai transit.
"Saya gembira dengan kerja sekarang kerana saya memang suka cuba sesuatu yang baru dan sudah terbiasa dengan kerja-kerja lasak.
"Kerja ini agak rumit sebab saya perlu belajar banyak perkara dan tahu cara untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul, yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja," katanya kepada mStar Online.
Kisah Nur Aina Asmida memandu LRT dalam usia muda menjadi tular di media sosial selepas posting mengenai pekerjaannya dimuat naik di laman Facebook baru-baru ini.
Berasal dari Sekinchan, Selangor, anak sulung daripada lima beradik ini mengaku agak gugup ketika mula-mula menggerakkan gerabak, walaupun dengan menggunakan sistem moden.
image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/05/10/gadis-pandu-lrt/~/media/c05c0524c4124e78bd0c6d53cb7408f1.ashx?la=en


Jelasnya, walaupun dalam keadaan biasa tren digerakkan dengan sistem separa automatik, cara manual perlu digunakan dalam situasi tertentu atau jika mendapat arahan daripada pihak atasan.
Bagaimanapun katanya, dengan latihan selama sebulan setengah dan sokongan daripada rakan-rakan di tempat kerja, perasaan gugup itu hilang sedikit demi-sedikit.
"Dalam setiap tren, hanya ada seorang sahaja staf yang bertanggungjawab iaitu kapten dan jumlah penumpang boleh mencecah seramai 1,200 orang pada waktu puncak, itu yang agak membimbangkan saya.
"Begitu juga bila berada di kawasan tinggi, sudah tentu boleh membahayakan nyawa penumpang jika saya buat silap. Kesilapan kecil juga boleh menyebabkan tren lewat dan mengganggu jadual perjalanan," katanya yang ditugaskan mengendalikan tren di laluan Putra Heights - Sentul Timur.
Menurut Nur Aina Asmida, minat untuk mencuba bidang ini timbul apabila beliau setiap hari menggunakan perkhidmatan LRT ketika bekerja sebagai jurujual di Ampang sebelum ini.
"Dari situ timbul minat untuk tahu bagaimana cara nak pandu LRT.
"Sekarang bila impian jadi kenyataan, timbul pula rasa tanggungjawab terhadap penumpang, saya nak tolong mereka sampai ke destinasi dituju dengan cepat dan selamat," katanya sambil menambah setiap pegawai mempunyai dua syif kerja iaitu pagi dan petang.
Mempunyai sijil dalam bidang perhotelan dari Kolej Komuniti, Nur Aina Asmida mengakui mendapat bantahan keluarga ketika mula-mula mahu membuat permohonan untuk jawatan yang dipegangnya sekarang.
"Keluarga mula-mula tak benarkan sebab mereka anggap bahaya. Tapi bila saya jelaskan tentang syarikat ini dan bidang tugas saya, akhirnya mereka bersetuju," katanya.

Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/05/10/gadis-pandu-lrt/#QFGMWYMzwLT3wrtO.99

Buru Jutawan Elak Bayar Cukai

PUTRAJAYA: Beberapa jutawan termasuk yang bergelar Tan Sri dan Datuk telah diarahkan untuk membayar cukai yang belum diselesaikan hingga mencecah ratusan juta ringgit.
Operasi memburu pihak tidak membayar cukai dijalankan secara berasingan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) Jabatan Peguam Negara.
Di Pulau Pinang, sumber atasan berkata, seorang Tan Sri diarahkan untuk membayar tunggakan cukai, manakala seorang lelaki berpangkat Datuk di Johor turut diarah berbuat demikian.
NRRET yang ditubuhkan pada 2015 terdiri daripada Jabatan Peguam Negera, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, LHDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ia menguruskan kes mengelak cukai oleh individu dan badan korporat, aliran keluar dana haram dan perbuatan rasuah.
Laporan baru-baru ini berkata 13 jutawan antara individu sedang diburu kerana mengelak membayar cukai.
Rupa-rupanya jumlah tunggakan cukai kesemua individu itu dianggarkan hampir RM50 juta dalam tempoh kurang dua tahun.
Bagi yang terpaksa menjual aset untuk membayar cukai, laporan terbaharu pada Selasa menunjukkan LHDN menyita deposit tetap Pengerusi Eksekutif County Heights Holdings Bhd (CHHB), Tan Sri Lee Lim Yew berjumlah RM126 juta yang disimpan di dalam bank.
Ini dipercayai ada kaitan dengan liabiliti cukai anak syarikat CHHB iaitu Country Heights Sdn Bhd.
Selepas itu, Lim Yew memaklumkan Bursa Malaysia bahawa beliau bersetuju simpanan tetap itu digunakan untuk membayar tunggakan cukai tersebut.
Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pendapatan perniagaan mempunyai tempoh sehingga Isnin depan untuk mengisi E-Filing mereka.
LHDN telah memberi amaran penguatkuasaan ketat tahun ini dengan lebih banyak pengauditan dan siasatan akan dijalankan.
Bagi memastikan pangkalan data dikemas kini dan tepat, LHDN akan bekerjasama dengan polis, JKDM, SPRM dan pihak berkuasa tempatan.
Dari Januari hingga 9 Mei, LHDN melakukan empat operasi besar-besaran di seluruh negara.
Pada Isnin, Ops Kutip, kempen dua hari untuk mengutip cukai tidak dibayar sejak 2015 telah dilancarkan.
Seramai 592 pegawai LHDN terlibat dalam operasi tersebut untuk mengutip kira-kira RM326 juta yang tertunggak sejak dua tahun lalu.
LHDN menyasarkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada jumlah tunggakan itu pada Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata, bermula tahun ini, inisiatif yang dibuat bertujuan untuk memudahkan pematuhan dan mengelak ketidakpatuhan.
Beliau berkata, LHDN akan memperbaiki proses pemungutannya sambil memastikan tindakan undang-undang yang lebih cepat terhadap mereka yang mengelak membayar cukai.
Mereka yang terlibat dalam ekonomi 'bawah tanah' juga dalam radar LHDN.

Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/05/11/lhdn-buru-jutawan/#hQlP0t2zoP3XkhQC.99

Sunday, February 19, 2017

KL ATCC Di Sepang Jadi Mercu Tanda Industri Penerbangan Awam Negara - Najib

BENTUK WAU ... Bangunan 'Kuala Lumpur Air Traffic Control Center' (KL ATCC) yang akan dibina berhampiran KLIA. Upacara pecah tanah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa

SEPANG, 14 Feb (Bernama) -- Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara (KL ATCC) baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika merasmikan majlis pecah tanah kompleks bernilai RM650 juta itu hari ini, Najib berkata KL ATCC baharu itu akan membentuk satu lagi pencapaian dalam program transformasi negara bagi meningkatkan mutu penyampaian awam.

"Jika perkhidmatan trafik udara diuruskan dengan teratur dan efisien sudah pasti ia akan membuahkan rasa percaya dan yakin terhadap industri penerbangan dan pengangkutan udara di Malaysia.

"Ia akan membuktikan bahawa kita tiada kompromi dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik, cekap dan paling penting, selamat," katanya.

Kompleks itu menempatkan operasi Kawalan Trafik Udara bagi Ruang Udara Kuala Lumpur yang dikenali sebagai 'Kuala Lumpur Flight Information Region' (KL FIR) bagi menjadi tunjang utama bagi keseluruhan trafik udara di negara ini termasuk sebagai pusat koordinasi Sistem Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Najib berkata projek KL ATCC itu merupakan titik permulaan pelaksanaan penstrukturan semula ruang udara KL FIR apabila ia siap dibina.

Penstrukturan semula ruang udara KL FIR itu akan membolehkan KLIA, satu-satunya lapangan terbang di rantau ini, beroperasi pada tahap maksimum melalui operasi tiga landasan secara serentak.

"Operasi secara serentak ini disasarkan dapat mempertingkat kapasiti landasan di KLIA secara keseluruhannya daripada 78 kepada 108 pergerakan pesawat sejam, yang merupakan antara tertinggi di dunia," katanya.

Peningkatan itu, katanya, dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara melalui perkembangan industri penerbangan negara yang berterusan.

Najib turut mengumumkan DCA akan ditransformasikan sebagai badan berkanun yang dikenali sebagai Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Penubuhan CAAM itu akan memastikan urusan membabitkan industri penerbangan awam Malaysia memenuhi piawaian dan tatacara keselamatan penerbangan awam yang disyorkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), katanya.

Perdana Menteri berkata penubuhan CAAM itu akan memberi kebebasan kepada badan itu untuk menyusun dan menempatkan pegawai teknikal berkelayakan bagi memastikan obligasi Malaysia dalam memastikan keselamatan industri penerbangan awam negara adalah selaras dengan aspirasi ICAO.

Menurutnya, Malaysia telah menubuhkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 1 Mac tahun lepas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam di negara ini.

Hadir pada majlis pecah tanah kompleks yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya penghujung 2019 itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Ketua Pengarah Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Liow berkata dengan pembinaan KL ATCC baharu itu, KLIA mampu memberi lebih banyak ruang kepada pesawat untuk mendarat pada waktu puncak atau slot premium.

"Slot premium ini biasanya pada waktu pagi hingga tengah hari dan waktu malam antara 6 petang hingga 8 malam.

"Lapangan terbang di negara lain, mereka beri slot mendarat tengah malam atau awal pagi dan ini menjadikan lapangan terbang itu tidak berdaya saing," katanya.

Menurut Liow, ketika ini hanya dua lapangan terbang di rantau Asia iaitu Beijing dan Shanghai, China yang berupaya beroperasi pada tahap maksimum melalui operasi tiga landasan secara serentak.

Katanya KL ATCC juga akan menjadi pusat pentadbiran dan pejabat pengurusan operasi yang lengkap dengan prasarana seperti teater, dewan serba guna dan ruang istirehat untuk memberi keselesaan kepada pengawal trafik udara, sekali gus memastikan penerbangan selamat menuju ke destinasi.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata satu operasi sistem pengawasan berasaskan satelit iaitu 'Automatic Dependent Surveillance - Broadcast' (ADS-B) akan diperkenalkan, selari dengan sasaran 'Aviation System Block Upgrade' (ASBU) yang ditetapkan ICAO.

Katanya sistem itu dapat membantu pengawal trafik udara memperoleh maklumat kedudukan pesawat dengan lebih tepat dan melaksanakan penggunaan ruang udara yang lebih efisien serta membolehkan liputan pengawasan dengan kos pembangunan dan penyelenggaraan jauh lebih murah berbanding sistem berasaskan radar.

"Sistem ini juga dijangka mampu mempertingkat keberkesanan sistem SAR dalam usaha mengesan lokasi pesawat," katanya.

-- BERNAMA

Kumpulan Utusan tidak terlibat pengurusan Utusan Printcorp


28 November 2014 1:57 AM
KUALA LUMPUR 27 Nov. – Kumpulan Utusan tidak terbabit dalam sebarang keputusan pengurusan harian Utusan Printcorp Sdn. Bhd. atau terlibat dalam urusan perniagaannya walaupun syarikat tersebut masih menggunakan perkataan ‘Utusan’ pada namanya.
Setiausaha Syarikat Utusan Melayu (M) Bhd., Shirad Anuar berkata, nama ‘Utusan Printcorp’ dikekalkan sama seperti pada syarikat bersekutu Kumpulan Utusan yang lain, seperti Utusan Transport Sdn. Bhd., namun, tidak terlibat dengan aktiviti pengurusan hariannya.
Menurutnya, Kumpulan Utusan hanya memiliki 40 peratus kepentingan dalam Utusan Printcorp dengan 60 peratus lagi dipunyai oleh DTSP Consortium Sdn. Bhd.
“Pemegang saham majoriti di DTSP Consortium pula dimiliki oleh Gagasan Armada Sdn. Bhd., manakala Gagasan Armada adalah kepunyaan Norhazri Mohamed Nor dan Mohd. Yusri Ton Alias.
“Apa-apa masalah pengurusan harian termasuk isu berkaitan dengan bekas pekerja Utusan Printcorp seharusnya dijawab oleh Pengarah Urusannya, Datuk Norhisam Mohamed Nor,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shirad, pengurusan harian Utusan Printcorp kini diterajui oleh pengarah urusannya serta dibantu oleh Nurhaslina Mohamed Nor.
Katanya, apa-apa tanggapan bahawa Utusan Printcorp adalah milik penuh Kumpulan Utusan serta bertanggungjawab ke atas pengurusan syarikat tersebut adalah tidak tepat.

“Kumpulan Utusan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajar­nya ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sebaliknya,’’ tegasnya.

sumber:utusan malaysia

Wednesday, January 25, 2017

Gadis Melayu OKU Terima 4,000 Tempahan Kuih Bakul


Diterbitkan: Rabu, 25 Januari 2017 2:15 PM
Haziqah Nurul Huda Harun,20, menunjukkan kuih bakul yang dibuat menggunakan jenamanya sendiri ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Haziqah mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan bertambah sekali ganda menjelang perayaan Tahun Baru Cina selain mendapat tempahan dari Singapura dan Qatar.
KEMAMAN: Kuih bakul atau 'Nian Gao' pastinya menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, namun tentu tidak ramai menyangka bahawa ada juga gadis Melayu yang mampu menghasilkannya.
Kuih bakul hasil air tangan Haziqah Nurul Huda Harun, 20, yang merupakan insan kurang upaya (OKU), lebih istimewa kerana beliau mempelajari pembuatan kuih itu dari sahabat Facebooknya, yang berasal dari Beijing, China, dua tahun lepas.
Ternyata, kuih bakul yang diperbuat daripada adunan tepung pulut, air dan gula hasil resepi gadis berkerusi roda ini lebih enak, apabila menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini dan tahun lepas beliau turut menerima tempahan 500 biji dari Singapura dan Qatar.
Kuih bakul Haziqah atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, sentiasa 'menjadi' walaupun ada yang menyatakan penghasilan kuih bakul mempunyai banyak pantang larangnya.
Yaya yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, di sini lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu, berkata beliau mengambil masa tiga hari untuk menghasilkan kuih bakul bermula daripada proses mengadun, mengukus sehinggalah proses pembungkusan.
"Proses untuk sediakan adunan memakan masa selama empat jam iaitu Yaya buat adunan 70 kilogram tepung secara manual. Selepas adunan dibuat, Yaya akan mengisi adunan tersebut dalam acuan sebelum mengukusnya selama 12 hingga 15 jam bergantung kepada saiz kuih.
"Selepas siap proses mengukus, kuih tersebut akan dibiar dan disejukkan selama sehari sebelum proses pembungkusan dijalankan," kata Yaya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata perniagaannya berkembang dari hari ke hari sehingga beliau mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan ia bertambah sekali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
"Selain kaum Tionghoa, Yaya juga dapat tempahan daripada syarikat minyak dan gas, kaum Melayu dan ada juga permintaan dari luar negara.
"Yaya hasilkan kuih bakul dengan dua perisa iaitu perisa asli dan perisa durian yang setiap satu dijual dengan harga RM8 hingga RM15 mengikut saiz," katanya.
Yaya berkata pada mulanya beliau hanya menggunakan modal RM300 hasil daripada duit raya yang diperolehnya, kemudian beliau terpaksa meminjam duit daripada bapanya Harun Che Muda, 62, untuk membeli barang kelengkapan.
"Yaya pinjam duit abah untuk beli oven, pengukus berkapasiti tinggi dan alat-alat lain...tetapi bila dah dapat untung, Yaya ganti balik duit abah dan sehingga sekarang Yaya habis dalam RM50,000 termasuk mengubah suai dapur untuk dijadikan tempat memproses kuih bakul, sesuai dengan keadaan fizikal Yaya, katanya.
Berkongsi saat getirnya, Yaya berkata suatu ketika beliau pernah menganggap masa depannya hancur apabila beliau tidak dapat menguruskan diri dan hanya mampu terlantar hampir dua tahun.
"Masa tu Yaya tingkatan empat, Yaya diserang demam panas kemudian kedua-dua mata tidak dapat melihat dan doktor juga beritahu gegendang telinga Yaya pecah.
Yaya terpaksa berhenti sekolah awal dan ketika itu Yaya terlantar...hanya kepala sahaja yang dapat bergerak.
"Tapi, alhamdulillah berkat dorongan mama dan abah, Yaya bangkit semula dan mereka berdua yang banyak membantu Yaya untuk melakukan fisioterapi di rumah sehinggalah sekarang ini Yaya dapat bergerak menggunakan kerusi roda walaupun kaki sebelah kiri belum pulih dan tak dapat bergerak," katanya.
Gadis cekal ini berkata beliau berhasrat membuka bengkel dan menggaji  pekerja untuk memenuhi permintaan pelanggannya.
"Sebenarnya kuih bakul ini Yaya hasilkan setiap bulan kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain kuih bakul, Yaya turut menjual kuih bulan yang menawarkan 29 perisa dan ia dijual dengan harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.
"Lepas ini, insya-Allah Yaya nak kembangkan lagi bisnes dan Yaya berhasrat untuk buka bengkel serta menggaji pekerja sebab nak buat seorang diri dengan kuantiti yang lebih banyak memang tak mampu," katanya.
Beliau yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak turut berharap agar kerajaan negeri membantunya untuk merealisasikan harapan untuk membina sebuah bengkel bagi memudahkan urusannya.
"Ini sahaja yang Yaya mampu buat untuk masa sekarang...Yaya tak pernah mengikuti mana-mana kursus dan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Yaya harap sangat ada pihak yang sudi membantu," katanya.-- Bernama

sumber:mstar