Monday, December 15, 2014

Usahawan contoh bumiputra:Haji Ismail Group (HIG)

Bangga sungguh dengan HIG, usahawan melayu yang berjaya di Langkawi. Setiap kali,pergi Langkawi,wajib pergi ke sana.Tahun depan kalau chek pi sana,chek mai na.

PENGGEMAR coklat seperti Saidatul Akmar Mohd. Shah pasti sebati dengan kedai Haji Ismail Group (HIG) di pekan Kuah, Langkawi, Kedah. Setiap kali berkunjung ke pulau legenda itu, Saidatul Akmar, 26, tidak melepaskan peluang memborong coklat pelbagai jenama untuk dibawa pulang ke ibu kota.
Coklat Daim dan Maltesers antara jenama import kegemaran produser televisyen itu. Sekurang-kurangnya dia membelanjakan RM150 bagi membeli coklat sama ada untuk diri sendiri atau diberikan kepada ahli keluarga dan teman rapat.
Kongsinya: “Lebih baik bagi orang coklat sebagai buah tangan kerana rantai kunci atau magnet peti sejuk agak klise dan kurang dihargai orang.”
Berkesempatan membeli-belah di Kompleks HIG baharu di Kuah pada bulan September lalu, Saidatul Akmar memuji kemajuan HIG dalam menyediakan sebuah kompleks yang lengkap infrastruktur dan perkhidmatannya.
Kompleks dua tingkat itu diakui lebih selesa dan cantik serta melancarkan pergerakan pengunjung ketika berbelanja. Penyediaan troli juga praktikal buat pengunjung yang memborong dalam kuantiti banyak.

 
Pandangan Saidatul Akmar itu mewakili suara jutaan rakyat Malaysia yang pernah berbelanja sakan di lima cawangan kedainya di pekan Kuah dan Jetty Point termasuk kompleks yang mula beroperasi pada bulan Mac tahun lalu.
Ironinya, plastik hijau bercop logo HIG yang dijinjit pelancong usai membeli-belah di rangkaian kedai itu memang membekas ingatan masyarakat.
Nama Haji Ismail itu sahaja sudah agam dalam industri peruncitan Langkawi. Namun, tidak ramai yang kenal rapat dengan pembangun perusahaan tersebut.
Anak sulung Allahyarham Ismail Ahmad, Azizan Ismail sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan HIG menceritakan, permulaan perniagaan yang diasaskan ayahnya pada tahun 1987, seiring pewartaan status Langkawi sebagai zon bebas cukai.
Kedai pertama HIG dibuka di dalam bangunan Mara Langkawi. Produk komersial termasuk barangan elektrik, kain batik, pinggan mangkuk, tuala dan peralatan dapur merupakan item terawal dijual sebelum ia berpindah ke premis milikan sendiri di Jalan Pandak Mayah, Kuah sekitar tahun 1997.

ENAM produk teras yang dijual HIG ialah coklat, barangan dapur, pakaian dan hiasan, bagasi, cenderamata serta makanan.


Kebangkitan
Perpindahan itu berlaku tepat pada masanya. Bangunan Mara itu kemudiannya dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu. Kebetulan juga, pekan Kuah ditransformasi sebagai pusat bandar dan tumpuan pelancong membeli-belah. Maka bermulalah era kebangkitan HIG, lebih-lebih lagi selepas ia menawarkan coklat-coklat import pada penghujung 1990-an.
Selepas meninggal dunia pada tahun 2006 ketika berusia 67 tahun, HIG kemudiannya diterajui tujuh anak Ismail yang menjadi sebahagian daripada lapan lembaga pengarah termasuk ibu mereka, Yah Othman.
Di bawah pimpinan generasi kedua, HIG menyaksikan pembangunan luar biasa. Pewujudan HIG Langkawi Holdings Sdn. Bhd. pada tahun 2009 menyaksikan anjakan besar entiti ini menjadi sebuah perusahaan bumiputera yang disegani di Langkawi.
Di bawahnya, tersenarai lima anak syarikat yang menjadi penggerak HIG. Pertamanya ialah Perniagaan Haji Ismail Sdn. Bhd. yang menguruskan perniagaan borong, diikuti Perniagaan Haji Ismail Group Sdn. Bhd. yang difokuskan kepada bidang peruncitan meliputi pengurusan menyeluruh kelima-lima cawangan kedainya.
Terbaharu ialah HIG Property Sdn. Bhd. yang menguruskan sektor pembangunan dan kemajuan hartanah serta HIG Hotel (Langkawi) Sdn. Bhd. yang telah pun menyaksikan pembukaan hotel pertamanya di Kompleks HIG pada Oktober tahun lalu. Bakal beroperasi tidak lama lagi ialah HIG Travel & Tours Sdn. Bhd. yang difokuskan kepada pembangunan servis pelancongan.

PINGGAN mangkuk antara item terawal dijual Ismail ketika menceburi bidang peruncitan.


Barang halal
Perniagaan Haji Ismail Group Sdn. Bhd. merupakan layar kepada seluruh perusahaan. Ia pemula segala-galanya yang memungkinkan kejayaan HIG hari ini. Monopolinya dalam sektor peruncitan Langkawi disokong enam produk teras iaitu coklat (import dan tempatan), barangan dapur, pakaian dan hiasan, bagasi, cenderamata dan makanan.
Penegasan halal oleh HIG tidak hanya melibatkan makanan, malah meliputi keseluruhan operasi syarikat termasuk pentadbiran dan pembiayaan, khususnya dalam sektor hartanah yang dipastikan bebas daripada sebarang unsur riba.
“Tiada satu pun barangan tiruan dan tidak halal dijual di kedai-kedai kami. Penyewa premis di dalam pekarangan bazar Kompleks HIG juga diwajibkan menjual produk asli dan halal.
“Harga yang ditetapkan juga berpatutan, kompetitif dan menepati piawaian pasaran semasa terutama barang-barang cukai berkecuali. Insya-Allah kami tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga pada musim perayaan ataupun ketika kekurangan stok, walaupun barangan tersebut mendapat permintaan tinggi.
“Penyelidikan dan pembangunan turut dilaksanakan secara berterusan bagi menyediakan produk yang memenuhi cita rasa terkini pengguna. Misalnya bagasi, rekaan, warna dan material ikutan ramai perlu dikenal pasti agar kami tidak menjual bagasi yang terkebelakang rekaannya,” jelas Azizan.
Menyentuh kontroversi status halal dua perisa coklat jenama terkenal, Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran HIG, Roslee Ismail, 40, merungkaikan bahawa kedua-dua coklat itu tidak pernah dipasarkan di semua cawangan HIG, malah ia juga tidak ditemui di mana-mana kedai seluruh Langkawi.
HIG menapis ketat semua produk yang dipasarkannya. Kebanyakan coklat import diakui tidak memiliki cop perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Justeru, sebagai peniaga ,HIG mengambil tanggungjawab melakukan pemeriksaan dengan pengilang dan pengeluar serta memperinci pemprosesan termasuk bahan-bahan yang digunakan. Keraguan masyarakat terhadap coklat Pepero oleh Lotte Confectionary dari Korea Selatan turut tersebar menerusi internet. Biarpun sedikit terkesan, peranan HIG sebagai pemegang pasaran terbesar coklat di Langkawi tidak tergugat kerana masyarakat yakin dengan prinsip HIG yang amat menitikberatkan produk halal dan asli.
“Dulu kita bergantung kepada barangan elektrik dan peralatan dapur. Selepas ia menjadi barang cukai hapus, kami ubah fokus kepada coklat. Selain menjual barangan daripada jenama sedia ada, kami turut mengeluarkan produk jenama HIG seperti cadar, bagasi dan coklat,” ujar Roslee, anak kelima daripada tujuh adik-beradik.

HIG sentiasa memastikan produk yang dijual seperti bagasi mempunyai reka bentuk, warna, dan material yang menjadi kegemaran ramai.


Ismail
Berbalik kepada latar belakang pembangun HIG, Ismail merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik. Bapanya, Ahmad Awang ialah seorang guru pelawat yang sering berpindah-randah. Ismail lahir dan membesar di Kodiang, Kedah sebelum mengikuti keluarganya berpindah ke Langkawi. Di pulau itulah dia bertemu isterinya dan menetap terus di situ.
Keluarganya tidak seorang pun mempunyai latar belakang perniagaan. Kepintarannya berniaga terserlah sejak di bangku sekolah rendah. Rojak buatan sendiri dijual kepada rakan-rakan sekolah pada waktu rehat menjadi percubaan pertamanya sehingga dia digelar Ismail Rojak.
Selepas berkahwin, Ismail mendapat tender berniaga di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Matsirat.
Isterinya menguruskan kantin sekolah tersebut manakala Ismail pula menjual buah-buahan di tepi jalan. Kemudian, dia menjalankan bisnes jual beli daging lembu dan kerbau yang disembelih sendiri. Titik pusingan kehidupan Ismail sebagai usahawan terbentuk selepas dia melibatkan diri dalam bidang pembinaan.
Ismail memilih untuk menjadi kontraktor persendirian. Berbekalkan pengalaman dan simpanan peribadi, Ismail menubuhkan sebuah syarikat pembinaan kecil. Antara projek pembinaan yang dijayakan Ismail ialah bangunan Balai Bomba Langkawi, 276 unit perumahan Lembaga Pembangunan Langkawi dan beberapa buah sekolah kerajaan.
Hasil kerja kerasnya, Ismail terpilih sebagai 40 kontraktor pertama di Malaysia bagi menjalani Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa di bawah Kementerian Kewangan.
Ismail merupakan kontraktor kelas C dan berkhidmat dalam sektor pembinaan selama 25 tahun sebelum mengubah haluan kepada bidang peruncitan dan pemborongan barangan bebas cukai.
"Arwah seorang yang tegas dan sangat menepati janji. Walaupun dengan anak-anak sendiri, dia tidak akan beri muka. Namun, hasil didikannya itu berjaya membentuk kami semua adik-beradik,” ujar Azizan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1112&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3J1TlG8fm 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment