Tuesday, January 20, 2015

Chong Wei cadang latihan keras





TANPA kemahuan yang tinggi dan usaha lebih gigih skrip ketiadaan pemain kebangsaan di pentas final seperti pada Grand Prix Emas Masters Malaysia 2015 yang berakhir di Kuching kelmarin berkemungkinan akan berulang lagi.
Ini pandangan pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang berasakan bahawa sudah tiba masanya jurulatih tempatan memberikan latihan yang lebih keras dalam usaha untuk meningkatkan kualiti permainan pemain-pemain muda.
“Tengok kemahuan sendiri dan tengok karakter mereka juga, saya mungkin berbeza kerana sebagai pemain senior saya tahu apa yang saya mahu. Kalau pemain muda saya rasa perlu bagi tekanan atau mungkin jurulatih perlu lebih keras.
“Sekarang jurulatih ialah Rashid Sidek, Tey Seu Bock dan Hendrawan. Kami dalam satu kumpulan dan mereka banyak berbincang dengan ramai pemain. Kami ada 15 pemain dan karakter mereka semua tidak sama, ada masa mereka mahu dan kadang-kadang ia sebaliknya jadi agak susah.
“Saya dulu berbeza sebab saya mahu jadi luar biasa, saya lebih fokus pada diri sendiri dan akan buat semua arahan jurulatih sehingga habis tidak kisah letih atau tidak kerana kalau itu program latihan saya maka saya akan habiskan.
“Saya bukan seorang pemain yang rajin tetapi saya akan fokus pada program tersebut, malah kalau saya rasa tidak cukup saya akan tambah lagi ikut keupayaan sendiri kerana saya tahu saya buat semua ini untuk diri sendiri,” kata Chong Wei semalam.
Berdasarkan prestasi pemain-pemain perseorangan pada Masters Malaysia minggu lalu, dua pemain kebangsaan, Liew Daren dan Soo Teck Zhi serta bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Muhamad Arif Abd. Latif yang mencatatkan kemaraan paling jauh, namun sekadar suku akhir.
Seorang lagi pemain elit negara, Chong Wei Feng pula tidak dapat mempamerkan rentak sebenar kerana dia terpaksa memulakan kejohanan itu walaupun mengalami kecederaan hamstring, namun dia tewas kepada Arif pada pusingan kedua.
Daren dikalahkan Ajay Jayaram dari India, manakala Teck Zhi tumpas di tangan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk. Arif pula tewas kepada juara Masters Malaysia 2015, Lee Hyun Il dari Korea Selatan.
“Saya juga ada di sana (Kuching) untuk beberapa hari, setakat saya tengok prestasi pemain-pemain perseorangan bukan yang terbaik. Wei Feng mengalami kecederaan hamstring, saya harap dia akan cepat sembuh kerana tahun ini sangat penting untuk meraih mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2016.
“Saya tahu fikiran Wei Feng kerana kedudukan ranking dia (ke-31), dia akan bermula pada aksi kelayakan pada kejohanan Siri Super. Wei Feng seorang pejuang dan saya harap prestasi dia lebih baik di India (Grand Prix Emas),” tambah Chong Wei.
Chong Wei yang turut memberi nasihat berkata, barisan pemain muda perlu lebih berdisiplin dan bersedia untuk melengkapkan program latihan yang telah direncanakan oleh jurulatih.
“Saya rasa mereka perlu tingkatkan lagi disiplin, walaupun ketika latihan itu dipaksa oleh jurulatih tetapi mereka perlu sedar latihan untuk diri sendiri hanya mahu atau tidak mahu sahaja.
“Kalau saya masa dilatih Datuk Misbun Sidek pun saya paksa diri saya, saya cakap kepada diri, saya luar biasa dan saya buat apa sahaja yang diarah oleh dia,” tambah Chong Wei.
credit:Kosmo

Semangat macam Datuk yang kita nak,semangat luar biasa.Baru sukan badminton kita gah semula.


No comments:

Post a Comment