Monday, June 29, 2015

Bertani untuk keperluan sendiri

Morris (kanan) lebih yakin menggunakan sayuran yang ditanamnya sendiri kerana bebas racun makhluk perosak.


MALAYSIA mengimport bahan makanan bagi menampung keperluan makanan negara.
Kadar kebergantungan yang tinggi kepada sumber makanan import memberi impak besar kepada negara sekiranya berlaku krisis makanan dunia.
Bagi mengekang pertambahan import makanan, kerajaan melaksanakan Program Pertanian Bandar yang bertujuan untuk menggalakkan penduduk bandar menanam sendiri bahan makanan agar dapat mengurangkan tekanan permintaan domestik.
Aktiviti pertanian bandar merupakan satu pendekatan yang praktikal dan dapat mengurangkan perbelanjaan harian isi rumah. Aktiviti ini berupaya menambah baik dan mengindahkan landskap kawasan kediaman, pejabat, sekolah serta institusi.
Sehingga bulan Mei tahun 2015, seramai 13,000 peserta dari 390 lokasi di seluruh negara telah menyertai aktiviti pertanian bandar yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.
Peserta-peserta tersebut terdiri daripada individu dan komuniti dalam kawasan perumahan, sekolah serta institusi (pejabat, premis kerajaan dan swasta).
Aktiviti pertanian bandar bagi peserta individu dijalankan secara persendirian dan menggunakan pendekatan laman edible atau kebun dapur dengan menanam sayur-sayuran, herba dan rempah ratus untuk kegunaan sendiri di kawasan rumah.
Seorang peserta individu, Morris Chong Hoon Cheung, 55, yang tinggal di Taman Lazenda 2, Kerupang 3, Labuan mula menyertai Program Pertanian Bandar pada tahun 2014.
Dia menggunakan halaman rumahnya yang berkeluasan 334 meter persegi untuk menanam pelbagai jenis sayuran seperti daun bawang, sawi, kangkung, gondola, bendi, kacang panjang, timun, kundur, serai serta kunyit.
Kini, Morris memperoleh hasil tuaian tanaman sebanyak 100 kilogram (kg) sehingga 200kg untuk kegunaan sendiri. Lebihan hasil pula dijual kepada penduduk sekitar dengan purata pendapatan sebanyak RM750 hingga RM1,000 sebulan.
Kegigihan dalam menjalankan aktiviti pertanian bandar itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pengusaha Bumi Hijau Contoh sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2013.
Morris mengakui, aktiviti pertanian bandar yang dijalankan itu dapat membantu meringankan kos sara hidup keluarganya.
AKTIVITI Pertanian Bandar yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2).


Malah, dia juga yakin untuk menggunakan hasil sayuran yang ditanam sendiri kerana ianya bebas daripada sisa baki racun makhluk perosak.
Kawasan lapang
Aktiviti pertanian bandar bagi peserta komuniti pula dilakukan di kawasan lapang yang kosong dikenali sebagai laman atau kebun komuniti dengan penglibatan sekumpulan penduduk kawasan perumahan.
Program Pertanian Bandar peringkat komuniti banyak disokong oleh Jawatankuasa Penduduk dengan bimbingan Jabatan Pertanian Malaysia dan kerjasama agensi kerajaan yang lain.
Bermula pada Oktober 2014, komuniti di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor turut melakukan aktiviti pertanian bandar di kawasan yang mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Shah Alam dengan keluasan 1.0 hektar.
Seramai 54 orang ahli komuniti menyertai aktiviti itu dan memperoleh purata hasil sebanyak 500kg bagi setiap pusingan tanaman.
Hasil tanaman yang diperoleh ialah untuk kegunaan sendiri dan ia berjaya menjimatkan kos perbelanjaan dapur mereka manakala selebihnya dijual kepada penduduk kawasan sekitar.
Aktiviti pertanian bandar oleh peserta sekolah dilaksanakan di kawasan sekolah dengan penglibatan guru dan pelajar manakala di kawasan institusi pula membabitkan warga institusi di kawasan pejabat kerajaan serta swasta.
Selain aktiviti penanaman biasa, peserta sekolah dan institusi turut digalakkan menjalankan penanaman secara fertigasi dan Nutrient Film Technique (NFT).
Ia bertujuan untuk memperkenalkan pelajar sekolah dan warga institusi mengenai teknologi pertanian yang boleh diaplikasikan dalam aktiviti pertanian bandar bagi memudahkan penyelenggaraan tanaman.
Secara keseluruhan, sambutan daripada orang ramai terutama golongan sasar sangat positif. Pelbagai jabatan, agensi, Pihak Berkuasa Tempatan dan badan bukan kerajaan turut terlibat dalam Pertanian Bandar.
Promosi dan publisiti sentiasa dijalankan bagi memberi kesedaran serta pendedahan kepada orang ramai. Minat bertani yang berterusan dapat dipupuk terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar.

kredit:kosmoonline


wahhhh,makin ramai bertani untuk keperluan sendiri,kos hidup makin meningkat.Jadi,salah satu cara melalui pertanian sendiri baik dari segi individu atau projek komuniti.

My bro & his wife pun dah mula buat,tanam sendiri sayur-sayuran yang mudah dijaga seperti pokok cili padi,daun kesum,daun bawang,serai,kunyit,kedondong,durian macam-macam lagi la.

Syabas warga Malaysia,moga ramai lagi yang akan sertai.

Salam ramadhan ke-12.

No comments:

Post a Comment