Friday, July 3, 2015

The thrill hobby-I am born to thrill (Irvan)

    
"Jika tidak boleh berlari, cuba berjalan. Jika tidak mampu berjalan, merangkak. Buatlah apa sahaja untuk mara ke hadapan dan jangan sesekali berputus asa kerana satu-satunya insan yang menjadi penghalang adalah diri sendiri."
Begitulah kata-kata hikmah yang dilontarkan oleh seorang pelari ultramaraton dari California, Amerika Syarikat (AS), Dean Karnazes, 52, yang sejak kecil telah membiasakan diri berlari sehingga menyertai trail run.
Definisi maraton ialah berlari sejauh 42 kilometer (km) manakala ultramaraton merupakan gabungan larian dan berjalan lebih 42km. Ultramaraton yang terpanjang adalah sejauh 2,092km.
Terdapat juga ultramaraton yang mempunyai gabungan trail run iaitu berlari merentas hutan dan kawasan berbukit.
Kegigihan Karnazes menjadi sumber inspirasi pelari-pelari ultramaraton di seluruh dunia di samping menjadi idola bagi Razif Yahya, 43.
Sama seperti Karnazes, Razif menceburkan diri dalam bidang larian sekadar satu hobi sejak di bangku sekolah.
Dia mempunyai tinggi 170 sentimeter ingin menurunkan berat badannya yang ketika itu seberat 75 kilogram.
Hobi tersebut bertukar menjadi satu cabaran baginya selain ingin menguji sejauh mana kemampuannya untuk berlari. Bak kata pepatah Inggeris, the sky’s the limit.
"Namun, selepas memasuki Universiti Awam, saya berhenti berlari selama 17 tahun kerana terlalu sibuk dengan aktiviti kampus. Saya juga fokus kepada pembelajaran," kata bekas pelajar Universiti Utara Malaysia (Ijazah Sarjana Muda Perakaunan) dan Universiti Malaya (Ijazah Sarjana Sains Politik).
Anak kelahiran Kuala Lumpur yang juga merupakan Penolong Pengarah Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu menceritakan, pengalamannya untuk kembali berlari selepas tamat pengajian pada tahun 2009 bukan perkara mudah.
Ketika berlatih untuk memasuki acara maraton pertama iaitu larian Standard Chartered di Singapura pada tahun 2010, dia mengalami kecederaan.
"Doktor menasihatkan supaya berehat daripada sebarang aktiviti larian selama tiga bulan. Kecederaan tersebut berlaku akibat berlari menggunakan teknik yang salah serta tidak teratur," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Kecederaan yang dialaminya itu merupakan paling teruk dan dikenali sebagai fasciitis plantar. Kesakitan tersebut berlaku di tapak kaki bahagian ligamen tumit hingga ke jari-jari kaki dan kebiasaannya terjadi pada atlet dan pegawai tentera.
Sungguhpun begitu, Razif tidak mudah berputus asa dan cekal untuk kembali berlari. Selepas mengalami kecederaan, dia menukar teknik berlari daripada pendaratan tumit (heel strike) ke pendaratan tapak (mid foot).
"Memang tidak dinafikan proses mengubah cara larian adalah sukar di samping memerlukan komitmen serta kesabaran tinggi. Saya mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk memperbaikinya.
"Tanpa jurulatih, saya berusaha sendiri berpandukan artikel yang dibaca, melihat video larian di YouTube dan juga khidmat nasihat rakan-rakan yang juga pelari maraton antarabangsa," jelasnya.

BERLARI sambil menikmati alam memberi kepuasan kepada Razif.


Terapi jiwa
Sehubungan dengan itu, Razif membiasakan diri dengan larian setiap hari pada sebelah pagi sejauh 10km sebelum ke pejabat. Jika tidak berkesempatan, dia akan berlari pada sebelah petang.
Walaupun pada bulan Ramadan, Razif tetap akan berlari di sekitar Putrajaya selepas menunaikan solat sunat tarawih.
Sehingga satu tahap, dia berasa bosan berlari di sekitar taman dan jalan raya. Maka, dia mencabar dirinya melakukan trail run.
"Saya lebih suka trail run kerana dapat berlari sambil menikmati alam semula jadi.
"Ia merupakan terapi jiwa saya tatkala menghirup udara segar dan melihat terbit dan terbenamnya matahari," katanya yang sering ke Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor pada setiap hujung minggu untuk berlatih.
Namun aktiviti lasak tersebut tidak cukup mencabar bagi Razif. Dia kemudiannya membuat kajian mengenai ultramaraton dan bagaimana untuk memasuki acara tersebut.
Trail run antarabangsanya yang pertama ialah The North Face Run (TNF) sejauh 50km pada tahun 2011.
Razif berasa begitu teruja kerana dapat melengkapkan ultramaraton tersebut. Sejak itu, dia menanam azam untuk menguji tahap kemampuan dirinya.
Oleh yang demikian, dia kerap memasuki TNF sejauh 100km (TNF100). TNF100 Australia merupakan salah satu daripada lapan siri larian ultramaraton. TNF100 turut diadakan di Thailand, Taiwan, China, Filipina, Jepun, Singapura dan Hong Kong.

Australia merupakan acara larian paling susah dalam siri TNF100.


Paling sukar
Dalam kesemua siri itu, TNF100 Australia merupakan acara larian paling sukar kerana peserta perlu mengharungi Taman Negara Blue Mountains, New South Wales di samping berlari setinggi 4,308 meter ibarat mendaki separuh Gunung Everest.
"Alhamdulillah pada 16 Mei lalu, saya berjaya menamatkan larian tersebut di samping mengibarkan bendera Jalur Gemilang.
"Setakat ini, saya berjaya melengkapkan empat daripada lapan siri iaitu Singapura, Thailand, Filipina dan Australia. Saya berharap untuk menghabiskan kelapan-lapan larian itu," tuturnya yang menamatkan larian TNF100 Australia dalam masa 16 jam 59 minit.
Menurutnya, gunung paling tinggi yang pernah dijejaki ialah Gunung Sherman, Colorado, AS yang merupakan antara puncak gunung tertinggi di Amerika Utara setinggi iaitu 4,280 meter.
Gunung merupakan kawasan tanah tinggi yang paling sesuai untuk menguji ketahanan di samping membiasakan diri dengan keadaan sejuk.
Setakat ini, juara dunia ultramaraton dan trail run didominasi oleh pelari dari Eropah dan AS seperti Francois D’Haene dari Perancis.
Walaupun trail run sangat mengujakan, hakikatnya ia mengundang risiko yang lebih tinggi apatah lagi ketika berlari merentas hutan pada waktu malam.
Larian ultramaraton dan trail run menguji pelari dari segi fizikal dan mental kerana individu akan berlari dalam jangka masa yang sangat lama.
"Apabila kita berlari dalam jangka masa yang lama, mood kita bertindak seperti roda. Saya juga seorang manusia biasa dan akan rasa putus asa dan patah semangat.
"Motivasi saya untuk teruskan larian adalah dengan mengingati Allah dan anak-anak. Saya akan berzikir dan melihat gambar anak-anak sebagai sumber kekuatan untuk terus fokus," katanya.
Tidak kurang juga halangan apabila terdapat individu yang iri hati terhadap pencapaian Razif.
Namun, pelari tersebut kekal positif dan menganggap kritikan yang diterima sebagai satu cabaran bagi dirinya.
"Antaranya, apa yang saya dapat jika berlari sehingga ke hujung dunia.
"Namun begitu, larian memberi kepuasan kepada saya dan itu yang penting bagi saya.
"Saya percaya semua orang mempunyai minat masing-masing yang memberikan kepuasan dalam diri. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih," tegasnya.
Peralatan
Sementara itu, Razif memberitahu, individu yang menyertai ultramaraton perlu melengkapkan diri dengan peralatan seperti pisau, kompas, lampu kepala dan kasut yang sesuai.
"Pemilihan kasut sangat penting dan hendaklah sesuai dengan bentuk kaki individu, cara larian dan keadaan kawasan. Kasut berjenama Salomon merupakan pilihan terbaik malah juara-juara dunia trail run juga menggunakan kasut tersebut," jelasnya.
Kawasan basah dan berlumpur memerlukan kasut bertapak soft ground seakan-akan tapak kasut bola sepak yang berupaya mencengkam permukaan tanah licin dan lembap. Kawasan kering dan berdebu hanya memerlukan kasut bertapak biasa.
Biasanya, terdapat alat pengukur tapak kaki di kedai-kedai kasut untuk mengetahui pelari mempunyai tapak lengkung normal, lengkung rendah atau lengkung tinggi.
Berdasarkan jenis tapak kaki, individu dapat memilih kasut yang sesuai dengan bentuk tapak kaki mereka. Bentuk kaki lengkung tinggi perlu mencari kasut kestabilan tinggi manakala lengkung rendah memerlukan kasut mempunyai kusyen yang bagus.
Sementara itu, Razif menjelaskan, penyertaan dalam acara tersebut bukanlah semata-mata mengejar nama atau trofi kemenangan tetapi ia lebih kepada kepuasan diri.
"Saya berhasrat menyertai acara Ultra Trail Mount Blanc 100-Miler di Eropah serta Western States Run 100-Miler di AS.
"Matlamat saya paling utama adalah untuk menyertai trail run paling mencabar di dunia iaitu larian Hard Rock 100-Miler di AS," katanya yang akan menyertai larian berprestij tinggi sejauh 330km, Tor Des Geants di Itali pada bulan September depan.
Selain itu, Razif sedang bekerjasama dengan Running Project Malaysia untuk mencari bakat-bakat baharu berusia 25 hingga 30 tahun.
"Kami akan melatih mereka untuk menjadi pelari ultramaraton berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.


Artikel Penuh: kosmo
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment