Thursday, January 7, 2016

MENGAPA SAYA MENULIS MENGENAI VAT 69?

pembelian novel The Unsung Hero & The one, wassap Puan  Zurina 016-244 2727
MENGAPA SAYA MENULIS MENGENAI VAT 69?
DARI HATI NURANI MELUR JELITA
Pada tahun 1993, saya mengikuti misi kemanusiaan ke Kemboja di bawah program RISEAP dan JAKIM. Saya telah ditugaskan sebagai translator dan pengagih duit amanah yang disumbangkan oleh Tentera Nasional Indonesia yang mengadakan majlis penyerahan derma kepada Imam-imam seluruh Kemboja di Masjid Besar Phnom Penh. Selepas majlis, saya beramah mesra dengan beberapa orang Imam. Keterujaan mereka mahu bersembang dengan saya kerana mereka mahu menguji kefasihan Bahasa Melayu mereka. Kebanyakannya bahasa pengantar dalam pengajian agama adalah bahasa Melayu. Mereka masih pakai kitab kuning. Jadi, anda semua boleh bayangkan saya seolah bersembang dengan Nordin Ahmad atau Siput Sarawak kerana bahasa Melayu yang mereka gunakan sangat klasik dan teratur. Salah seorang imam itu, diam-diam mengaku kepada saya bahawasanya dia adalah bekas pengganas komunis rejim Pol Pot yang kejam dan durjana itu. Apabila tentera PBB memasuki Kemboja pada tahun 1990-an di bawah bendera UNTAC, sikitpun dia tidak gerun. Walaupun dipujuk untuk menyerah diri dan dijanjikan imbuhan oleh kerajaan sementara Kemboja, dia tetap enggan. Apatah lagi di antara tentera pengaman itu terdiri daripada negara US dan Britain.
Sehinggalah dia mengetahui tentang wujudnya tentera pengaman dari Malaysia, hatinya menjadi gundah gulana. Dia memberitahu saya wujud satu kumpulan yang hanya dianggotai sebilangan kecil anggota iaitu seramai 6 orang. Digelar LOK KAW. Dan LOK KAW ini sangat digeruni oleh komunis Malaya, Komunis Thai, Komunis Vietnam dan Komunis China kerana kehebatan LOK KAW dalam meniru taktik perang gerila sehingga mengatasi keganasan komunis. Hatinya menjadi teragak-agak kerana dia mengetahui Malaysia adalah sebuah negara Islam dan rakyatnya ramai Melayu saudara serumpun. Oleh itu dia mengambil keputusan menyerah diri dan keluar dari perjuangan yang sia-sia. Ketika dia menceritakannya kepada saya, saya menjadi malu sendiri. Siapakah LOK KAW ini? Kenapa saya sebagai rakyat Malaysia tidak mengetahui kumpulan yang sangat digeruni oleh para komunis serantau. Kata-kata Imam itu juga terngiang di telinga saya:
Pasukan keselamatan tanah Melayu satu-satunya pasukan keselamatan di dunia yang berjaya menghalau keluar komunis dan ideologi sesatnya dari bertapak di Tanah Melayu. Sedangkan Amerika Sendiri tidak mampu mengalahkan tentera Vietcong sehingga mencicit lari dari bumi Vietnam.
Ketika saya menulis I LOVE YOU, STUPID! saya terjumpa cawangan VAT 69 atau 69 Komando yang patrolnya biasa dianggotai seramai enam orang saja. Maka saya mula mengkaji dan mencari mengenai VAT 69. Di masa yang sama, saya tertanya-tanya, inikah LOK KAW yang dimaksudkan oleh Imam di Kemboja dulu?
Kita selalu melihat kelebihan orang dan negara luar tapi selalu terlupa akan kehebatan orang dan negara sendiri. Semua kagum dengan keberanian Briged Al Qassam termasuk anggota dan pegawai 69 tapi mereka lupa mereka juga sehebat Al Qassam. Tanpa menyedari mereka juga setaraf dengan Al Qassam. Akan ada yang menafikan kehebatan 69 termasuk 69 itu sendiri. Mana mungkin mereka sama dgn Al Qassam yang hebat itu? Saya yang mengkaji. Saya yang mengikuti gerakan 69 dari zaman darurat sehingga sekarang. Saya menemui 69. Dan saya yang menilai. Hebat tak hebat 69 adalah dari penilaian saya. Bukan 69 sendiri yang angkat nama mereka.
SIAPAKAH 69?
Mereka ialah VAT 69 (Very Able Troopers) atau 69 Komando, satu-satunya special force (pasukan khas) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bila disebut 69 maka ia adalah VAT 69 atau 69 Komando. Individu yang ingin memasuki VAT 69 haruslah terlatih dari anggota dan pegawai PDRM. Dengan mengikuti tapisan asas pra-pemilihan 69 Komando yang ketat dan berbagai-bagai siri latihan lagi sebelum mereka berjaya dianugerahkan tanjak keramat iaitu beret pasir 69 Komando. Sesungguhnya mereka yang terpilih adalah yang terbaik daripada yang terbaik!
Kewujudan mereka dalam PDRM adalah samar-samar di mata orang awam. Kelibat mereka jarang terlihat. Menguasai darat, air dan udara ialah kepakaran mereka yang tersembunyi. Gerak kerja mereka pantas, tangkas dan senyap.
Mempunyai kepatuhan dalam kerahsiaan yang sangat tinggi. Bijak, cekal dan degil adalah antara ciri-ciri VAT 69/69 Komando. Mereka lebih suka tidak dikenali dan sangat jarang ingin menonjolkan diri. Melihat kepada warna tanjak keramat mereka, beret pasir atau sandy brown sudah menggambarkan keperibadian VAT 69/69 Komando. Bagai resmi padi yang sentiasa menunduk tetapi tunduk bukan sebarang tunduk. Tunduk yang penuh berisi dan sedia menanduk!
KENAPA SAYA MENGKAGUMI VAT 69/69 KOMANDO?
Bayangkan cuma 6 orang masuk ke dalam hutan berbulan-bulan, sehelai sepinggang, lebih mementingkan berat peluru dan senjata daripada bekalan makanan, fikiran yang dikosongkan daripada memikirkan anak isteri, tidak fikir mahu pulang dan sentiasa fokus dalam tugasan tanpa teralih sedikit pun. Manusia apa yang berjaya diprogramkan begini sekali kalau bukan 69?
Kepada mereka yang tahu kehebatan VAT 69/69 Komando, mereka sangat menyanjung tinggi special force ini. Maka diharapkan VAT 69/69 Komando akan terus mantap dan menjaga integriti kerana VAT 69/69 Komando adalah maruah dan kehormatan PDRM.
1.3.13
Satu tarikh yang sangat menggemparkan negara. Saya mengikuti dari awal sehingga ke saat 1.3.13. Disusuli dengan kejadian pada 2.3.13. Jenuh saya mententeramkan divaz jelitawans saya yang berada di Sabah Sarawak. dan juga yang berada di Semenanjung. Divaz jelitawans yang berasal dari berbagai etnik, budaya dan kaum tidak putus-putus memberi laporan atau mengadu rasa dengan kejadian yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Walaupun saya bukan sesiapa, tetapi rasa kasih kepada tanahair dan bangsa-bangsa yang berada di Malaysia, mendorong saya terus memberi tiupan semangat kepada divaz jelitawans yang kerisauan dengan berbagai sebaran di media terutama sekali di facebook. Jangan risau, insyaALLAH Polis dan tentera kita akan berjaya mengalah dan menghalau keluar penceroboh dari Sabah. Teruskan berdoa dan buat solat hajat.
Di masa yang sama, telinga sangat berdesing dengan perkataan SANDIWARA, ANJING DAN MATI KUFUR.
Setiap kali terbaca dan sampai sekarang insiden Lahad Datu, air mata saya pasti berlinangan. Walaupun saya bukan sesiapa dengan mereka yang gugur atau mereka yang berjuang tanpa menghiraukan nyawa sendiri tetapi saya sangat terasa.
Bila saya mengadu kepada suami akan rasa hati saya, juga geram dengan fitnah dan tohmahan manusia lebih-lebih lagi mereka yang buta sejarah dan buta perut, kata-kata suami sangat terkesan sampai sekarang.
“Tak payah duk sedih sangat la. Tak lama pasai Lahad Datu ni, satgi semua orang lupa. Manusia kan mudah lupa lebih-lebih lagi orang Melayu. Gempaq satje pasai VAT 69 tu…lepaih tu depa tak peduli apa dah. Orang takkan sebut-sebut lagi dah pasai 69.”
Tidak lama lagi mereka akan lupa? VAT 69 akan dilupakan?
Tersentak. Tersentap. Terhiris.
Begitu mudah sekali manusia lupa?
Tidak! Saya tidak izinkan VAT 69 dilupakan. Sama sekali tidak!
Tapi apa yang harus saya lakukan?
“Ya, awak nak buat apa? Awak tu siapa? Tak yah la nak fikir banyak-banyak. Kita ni bukan siapa-siapa nak angkat VAT 69. Sedangkan dalam VAT 69 tu ramai orang hebat-hebat, dengan kisah perjuangan yang hebat-hebat, pun tak dipandang apalagi kita orang biasa ni.”
Kata-kata suami yang langsung tidak menggalakkan.
Ya, saya ni siapa? Berkali-kali soalan itu menerjah kepala saya.
Hanya seorang ibu tua. Suri rumah. Tidak ada pangkat doktor atau Datuk di depan.
Apa yang boleh saya buat? Apa yang mampu saya buat? Apa yang harus saya buat?
Saya dapat idea. Saya nak tulis mengenai VAT 69. Tulisan takkan hilang apalagi jika dibuku dan dijual ke seluruh negara. Laku tak laku, belakang cerita. Yang penting saya tulis.
Tapi…tapi…bagaimana saya nak menulis? Saya tidak kenal sesiapa. Tidak ada kabel. Nak mula dari mana? Nak menghadap siapa? Nak tulis dalam bentuk apa? Novel? Biography? Dokumentari? Buku sejarah? Kisah patriotik? Orang nak baca ke benda-benda berat camni? Banyaknya persoalan sehingga bilanya saya nak mula menulis nih?
Akhirnya, saya menghadap suami saya. Memberi gambaran secara kasar apa yang saya nak bantu VAT 69.
“Awak nak jumpa siapa? Awak nak tulis camna? Ini bukan soal main-main. Selama hidup abang, abang tak pernah lagi jumpa buku mengenai VAT69. Taupun pasai awak yang sebut. Lepas tu orang nak baca ke? Apa keistimewaan VAT 69 yang akan menarik orang baca? Kena ada X-Factor baru orang nak baca.”
“Saya pun tak tau…tapi…saya cuma nak minta izin dan restu abang. Dua tu je. Kalau abang dah izin dan restu, insyaALLAH semuanya akan berjalan lancar. Saya akan minta pada Allah. Saya pun tak tau camna tapi saya akan serah kepada Allah. Biarlah DIA menunjukkan jalan dan melorong saya ke arah yang betul dan benar.”
“Ok, abang izinkan dan restu. Tulis elok-elok. InsyaALLAH buku mengenai VAT 69 berjaya dan mendapat sambutan.”
Seterusnya, saya telefon penerbit, Dato Muzri. Saya minta nak tukar nama pena dari Melur Jelita kepada Melur saja. THE UNSUNG HERO-WIRA YANG TIDAK DIDENDANG ini sangat penting kepada saya. Saya tidak mahu nama Melur Jelita menenggelamkan VAT 69 dalam penceritaan saya. Saya nak orang nampak dan kenal VAT 69 saja. Orang tak nampak dan kenal saya tak apa. Saya redha. Tu diaaa. Tahap kekonfidenan saya. Saya akan overshadow VAT 69 dengan nama glamour saya. VAT 69 handal dalam CIW (Counter Insurgensi Warfare) tapi saya handal dalam dunia penulisan. Tu diaaa tahap keperasanan saya! Lagipun saya malu dengan nama Melur Jelita sebab ia asalnya nama blog saya.
“Nape nak tukar kak?”
“Malu la Muz. Melur tu nama bunga kesukaan akak. Jelita tu panggilan untuk semua pembaca akak kerana bagi akak semua orang cantik dan lawa. Tapi bila disebut Melur Jelita, pasti orang tanya atau sindir, jelita sangat ke Melur Jelita sampai berani menggelarkan dirinya jelita. Malu wooo. Malu besaq tu…”
Dato Muzri tergelak.
“Tak yah tukar la kak. Nama Melur Jelita tu kuat dah. Boleh tarik orang beli buku kak. Kalau letak Melur saja nanti orang tertanya-tanya pulak sapa ni Melur? Kita kena buat kerja semula dari mulalah nak perkenalkan Melur pulak.”
“Hurmmm…so tak yah tukarlah?”
“Tak yah la. Kuat dah nama Melur Jelita tu. Sayang la kalau tukar.”
Ikut kata penerbit sajalah.
Langkah seterusnya…
Maka sebelum saya menaip perkataan pertama dalam THE UNSUNG HERO – WIRA YANG TIDAK DIDENDANG, saya mulakan dengan solat hajat dulu.
Saya berdoa sesungguh hati agar Allah menolong dan membimbing saya. Semoga Allah akan mempertemukan saya dengan insan-insan yang boleh membantu dalam penulisan yang maha susah ini. Juga Allah akan mempermudahkan segala urusan saya.
And the rest is history…
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah…
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi,
Izinkan saya mempersembahkan,
THE ONE – YANG TERUNGGUL
Sambungan dari kisah yang pertama iaitu THE UNSUNG HERO – WIRA YANG TIDAK DIDENDANG
Bacalah kisah ini.
Kisah yang saya belasah dengan penuh kasih sayang
Dari hati yang penuh kasih sayang
Untuk anda semua yang saya percaya akan membacanya dengan penuh kasih sayang
Berbagai dugaan dan ranjau yang terpaksa saya tempuhi untuk menyiapkannya
Berapa banyak air mata, peluh dan darah yang tumpah
Tetapi tidak sehebat apa yang ditanggung dan dijunjung oleh para pegawai dan anggota VAT 69 atau 69 Komando.
APA PENGHARAPAN SAYA?
Sesungguhnya tiada apa yang dimahukan saya
Pengiktirafan, pangkat atau nama
TETAPI saya sangat berharap dan sentiasa berdoa,
VAT 69 ATAU 69 KOMANDO akan dikenali sebagai wira-wira negara yang sejati
Mereka akan diberi pengiktirafan dan imbuhan yang berhak mereka dapat sebagai The Guardians of Malaysia, penjaga dan pengawal keselamatan dan kedaulatan tanahair, Malaysia.
VAT 69 yang ada daulat dan saktinya tersendiri.
Ditubuhkan dengan niat suci untuk mempertahankan tanahair, bangsa dan agama dari sebarang pertualangan.
Saya tidak mahu VAT 69 dikenali sebagai THE UNSUNG HERO-WIRA YANG TIDAK DIDENDANG lagi.
TETAPI mulai hari ini, saya mahu VAT 69 dikenali sebagai,
THE ONE - YANG TERUNGGUL!
Kenalilah wira-wira kita kerana dengan mengenali mereka, kita akan mengenali diri sendiri, tanahair, bangsa dan agama.
Kepada ibu ayah, isteri, abang, adik dan anak-anak VAT 69
Anda tidak perlu malu lagi bila orang menghina PDRM lebih-lebih lagi VAT 69
Kerana ketahuilah, anak, suami, adik, abang atau ayah kalian adalah seorang WIRA. Seorang HERO. Yang sangat dikenali Allah swt.
Kepada 69 Komando, kepada dunia, anda mungkin bukan sesiapa tetapi kepada kami, anda adalah WIRA-WIRA kami.
Dan marilah kita berdoa agar WIRA-WIRA ini diberi kesihatan yang baik, keimanan yang kental dan keberanian yang tidak terhingga dalam mempertahankan ibu pertiwi
Dan semoga akan semakin bertambah ramai WIRA-WIRA yang mendatang akan mewarisi Warisan Darah Perwira sejati
Dan semoga 69 Komando terus terpasak dan tetap gagah di mukabumi Malaysia ini, selamanya! Amin.
Sesungguhnya, darah pahlawan dalam setiap diri 69 Komando takkan hilang selagi nyawa dikandung badan.
Biar musuh hancur musnah…musnah!
Biar musuh punah ranah…ranah!
Biar tubuh bermandi darah
69 tetap megah
69…komando!
69…mara!
69…mara!
Komando!
69 Komando, negara berterima kasih!
* tolong share dan sebarkan
Biar anak2 tahu mengenai pahlawan2 negara kita

kredit to page: Puan Melur Jelita

No comments:

Post a Comment