Wednesday, March 2, 2016

DAPATKAH KITA MERASAI PENDERITAANNYA...

DAPATKAH KITA MERASAI PENDERITAANNYA...


Hari ini genap tiga tahun Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, pegawai Komando 69 meninggal dunia kerana ditembak sewaktu mempertahankan negara daripada serangan pengganas Sulu dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah. Ketika itu isterinya, Nor Aziah Nor, 28, baru beberapa minggu mengandungkan anak ketiga mereka.
Selama sembilan bulan berikutnya, Nor Aziah terpaksa berdikari menanggung kandungannya tanpa suami di sisi. Ketika dia melahirkan anaknya, beliau terpaksa menangis dan menanggung kesakitan tanpa kehadiran dan genggaman tangan lelaki yang dicintai sepenuh hatinya itu. Kesedihan yang ditanggung bukan sedikit, apatah lagi mengenangkan suaminya itu tidak sempat menatap wajah comel bayi mereka.
Kini bayi lelaki seberat 3.25kg itu sudahpun berusia tiga tahun. Dia mungkin tidak mengerti apa-apa, namun bayangkan perasaan si ibu dan dua abangnya yang kehilangan orang tersayang dalam sekelip mata.
Dan hari ini disebabkan ada anggota yang mengambil rasuah di tepi jalan, sebab ada pegawai yang mengambil wang perlindungan di kedai mesin video...kita seolah-olah meletakkan wajah hodoh segelintir daripada mereka untuk menafikan perjuangan dan pengorbanan pegawai, anggota polis lain yang bermandi darah serta airmata demi menjaga kedaulatan negara selama ini. Adilkah kita?
Allahyarham Zulkifli tidak minta dibunuh, Nor Aziah tak minta menjadi balu dan anak mereka tidak mahu menjadi yatim ketika masih tidak tahu apa-apa. Namun mereka tahu, sekali bersumpah untuk membawa panji-panji dan menjadi keluarga Sang Saka Biru, nyawa dan tubuh adalah harga yang menjadi taruhan!
Di saat kita mencaci dan menghina PDRM, tidakkah ada sekelumit pun kita merasai penderitaan yang telah insan-insan ini pikul sejak sekian lama? Mungkin kita terlalu buta untuk membeza mana kaca, mana permata!






Sumber:syahrilkadir

No comments:

Post a Comment