Friday, May 20, 2016

Ramalan:10 juta maut akibat Superbug



LONDON – Dianggarkan sepuluh juta orang maut menjelang 2050 ke­cuali dunia bersatu berusaha mengatasi masalah peningkatan kes bakteria kebal antibiotik yang bakal menjadi pembunuh utama dunia, menurut satu laporan berbaur amaran semalam.
Kajian Mengenai Penenta­ngan Antimikrob menyatakan, langkah-langkah untuk melawan kemunculan bakteria dikenali sebagai ‘Superbug’ itu berlaku apabila sesuatu kuman menjadi imun terhadap ubat-ubatan sekali gus menyebabkan kece­deraan ringan dan jangkitan biasa boleh membawa maut.
“Superbug perlu dilihat sebagai satu ancaman kepada ke­selamatan dan ekonomi. Semua ketua-ketua negara perlu sedar ini satu ancaman besar,” tulis Jim O’Neill, seorang ahli ekonomi yang mengetuai kajian tersebut.
Penggunaan antibiotik secara berlebihan perlu dikurangkan termasuk pemberian ubat-ubatan melibatkan haiwan ternakan, menghentikan preskripsi yang tidak perlu dan melaksanakan kempen kesedaran awam global, gesa laporan tersebut.
Pada masa yang sama, penyelidik juga perlu digalakkan untuk membangunkan antibiotik baharu melalui dana global bagi penyelidikan dan memberi ganjaran kepada saintis yang berjaya melakukannya.
Kos bagi melaksanakan langkah-langkah tersebut dianggarkan mencecah AS$40 juta (RM163 juta) dalam tempoh le­bih 10 tahun lalu, jauh lebih rendah berbanding kos jika masalah yang semakin meningkat itu tidak ditangani.
“Tiada alasan untuk kita tidak bertindak berdasarkan apa yang kita tahu tentang kesan kenaikan kekebalan bakteria terhadap ubat. Sama ada sekarang atau kemudian, setiap kerajaan pasti akan berhadapan dengan kos ini,” kata laporan itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran peningkatan antimikrob mungkin menyebabkan manusia kembali ke era praantibiotik apabila berjuta-juta manusia mati dalam pandemik sebelum ubat ditemui boleh merawat mereka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz499m5E200 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment