Wednesday, June 1, 2016

NGO siar gambar mayat bayi lemas untuk sedarkan EU


BERLIN – Gambar mayat seorang bayi imigran yang ditemui terapung di Laut Mediterranean disiarkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendesak pemimpin Kesatuan Eropah(EU) supaya menyediakan laluan selamat kepada golongan pelarian selepas beratus-ratus orang dikhuatiri lemas pada minggu lalu.
Bayi dalam gambar itu belum dikenal pasti, namun NGO Jerman, Sea-Watch berkata, anak kecil itu ditemui di laut pada akhir minggu lalu selepas sebuah bot kayu membawa 350 imigran karam dekat perairan Libya.
Ia menunjukkan bayi itu dengan mata tertutup dan bibir kebiruan berada dalam dakapan seorang anggota penyelamat. Kebanyakan imigran lain telah pun lemas ketika bot penyelamat tiba, kata Sea-Watch tanpa mendedahkan angka kematian sebenar.
Menurutnya, tindakan segera diperlukan daripada kepimpinan EU bagi mengelakkan lebih ramai imigran daripada mati lemas. Keadaan itu berlaku ketika Eropah berdepan krisis imigran paling teruk sejak Perang Dunia Ke­dua.
“Jika kita tidak mahu melihat gambar sedemikian, kita perlu berhenti menghasilkan imigran,” kata Sea-Watch dalam satu kenyataan yang di­siarkan berserta gambar itu kelmarin.
Imej itu disiarkan selepas tragedi bot karam di Laut Mediterranean pada minggu lalu dikhuatiri mengorbankan seramai 700 imigran termasuk sebilangan kanak-kanak. Beribu-ribu imigran cuba menyeberangi Laut Mediterranean dengan menaiki bot usang dari Asia Barat dan Afrika menuju ke Eropah. – AFP

No comments:

Post a Comment