Friday, October 7, 2016

Naluri haiwan balas jasa tuan

AZMIRA bersama kucing jalanan yang dipeliharanya, Pok Yea.


Seumur hidupnya, Amirul Azmie Kamarul Zaman tidak pernah terfikir akan berulang-alik ke wad demi ‘menziarahi’ seekor haiwan. Namun, kala kucing peliharaannya, Baby, demam teruk sehingga terlantar di wad klinik haiwan selama tiga hari, hakikat itu diharunginya bersama hati yang walang.
Di bawah pantauan veterinar, sayu dan runsing hati peladang sawit itu apabila melihat tubuh kucingnya yang hanya berdiam. Baby pada masa itu baru berusia empat bulan. Kucing itu sebenarnya sudah kerap dibawa ke klinik sejak kecil kerana sering sakit.
Amirul Azmie masih ingat saat dia mula-mula bertemu Baby di luar rumahnya di Jalan Manggis, Teluk Intan, Perak lima tahun lalu. Anak kucing jalanan yang terputus susu itu kelihatan lemah, kotor dan terkontang-kanting tanpa ibu, lalu pemuda itu memeliharanya.
Tetapi, itu kisah separa dekad yang lalu. Baru-baru ini, bagai membalas jasa, kucing itu bersama seekor lagi kucing Amirul Azmie, 27, bernama Comel menjadi wira bagi keluarganya apabila mempertaruh nyawa melawan seekor ular tedung berukuran 1.6 meter yang masuk ke dalam rumah mereka.
Berani
Menceritakan detik mencemaskan itu, Amirul Azmie berkata, pada masa itu, hanya ibunya, Salmah Abdullah, 46, yang berada di dalam rumah sementara dia berada di bengkel kereta yang terletak kira-kira 20 minit dari rumah.
“Saya segera pulang apabila ibu yang ketakutan menghubungi saya mengenai kejadian. Apabila saya sampai saya terperanjat dua ekor kucing saya itu masih bertarung dengan ular itu.
Kedua-duanya berani bertindak mencakar dan cuba menggigit ular itu.
“Saya tidak tahu bagaimana nasib ibu tanpa dua ekor kucing itu. Ibu saya yang pada masa itu di ruang tamu rumah hanya menyedari pencerobohan ular itu apabila mendengar bunyi bising kucing-kucing itu dari arah dapur,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Amirul Azmie bersyukur kucing-kucingnya tidak mengalami kecederaan dalam insiden itu dan ular itu berjaya ditangkap oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang datang tidak lama selepas itu.


KELUARGA Azmira (kiri) menganggap Pok Yea seperti ahli keluarga mereka.


Beri makan
“Siapa sangka Baby yang dulu selalu sakit kini menjadi kucing yang amat sihat, berani tetapi sangat manja dengan saya. Begitu juga Comel, kucing jalanan yang saya pelihara sejak kecil kira-kira dua tahun selepas menemui Baby,” katanya yang sudah berumah tangga dengan Syahrain Nadiah Jamaluddin, 20.
Amirul Azmie berkata, dia memang seorang yang menyayangi haiwan dan sebelum memelihara Baby dan Comel lagi, menjadi tabiatnya memberi kucing-kucing jalanan di luar rumah makan.
“Saya sayangkan haiwan. Saya percaya, kalau kita menyayangi makhluk di bumi, makhluk di langit juga akan menyayangi kita,” ujarnya penuh makna.
Sekitar Januari lalu, kisah seekor kucing yang bernama Pok Yea mendapat liputan luas media tentang kejayaannya sebagai penyelamat rumah tuannya daripada dipecah masuk orang di sebuah pangsapuri di Batu 3, Shah Alam, Selangor.
Pemiliknya, Azmira A. Rahim, 40, berkata, kucing itu bukanlah kucing yang dibeli sebaliknya kucing jalanan yang ditemui dari bawah sebuah kereta di kawasan rumahnya empat tahun lalu.
“Saya tidak pernah terfikir untuk membela kucing sehinggalah saya melihat kucing itu yang kurus kering dengan tubuhnya yang kotor berminyak. Saya bawa balik, mandikan, bawa ia pergi klinik dan peliharanya.
“Hari ini, ia menjadi kucing yang berjasa dan saya sekeluarga menganggapnya sebahagian ahli keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujar Azmira, sekiranya kucing itu tiada, tidak tahulah apa yang akan terjadi di rumahnya pada awal pagi itu.
Labah-labah
“Pok Yea penyelamat. Saya dan keluarga sayangkan Pok Yea. Ada orang pernah hendak membelinya, tetapi saya tidak sanggup kehilangannya,” katanya.
Akhbar 3 Januari lalu melaporkan, bunyi deraman seekor kucing di balkoni berjaya menyedarkan tuannya kehadiran seorang lelaki yang cuba menceroboh masuk menerusi balkoni rumah itu pada pukul 2.50 pagi.
Ketika kejadian di kediaman tingkat tujuh itu, Azmira sedang menonton televisyen manakala isteri serta tiga anaknya sudah lena di dalam bilik.
Itu cumalah antara kisah daripada sekian banyak kes haiwan menyelamatkan manusia di dunia. Masih ingatkah kita kepada kisah Nabi Muhammad SAW diselamatkan oleh labah-labah yang membuat sarang semasa baginda bersembunyi di gua Thur saat diburu musuh pada peristiwa Hijrah?
Di Harbin, China, tujuh tahun lalu, seekor ikan paus beluga telah menyelamatkan nyawa seorang penyelam, Yang Yun yang tiba-tiba mengalami kekejangan semasa sedang menyelam di kedalaman enam meter di sebuah kolam.
ARNAB bernama Dory yang telah berjasa kepada tuannya, Simon Steggall yang sakit di Britain.


Paus bernama Mila yang mempunyai hubungan yang baik dengan manusia itu telah menolak Yun ke permukaan air.
“Saya rasa sesak nafas dan semakin tenggelam ke bawah. Pada masa itu saya cuma fikir sudah tiba ajal saya sehinggalah saya merasai ada suatu tenaga perkasa yang menolak saya ke permukaan,” katanya seperti yang disiarkan Daily Mail.
Pada tahun 2004, di Britain, seorang lelaki, Simon Steggall, berhutang nyawa dengan arnabnya, Dory apabila tindakannya yang melompat-lompat dan menguis kasar dada Steggall berjaya menyedarkan isterinya bahawa dia diserang koma.
Isterinya kemudian telah segera menghubungi paramedik dan dia dikejarkan ke hospital.
“Yang anehnya, apabila saya memberitahu pakar tentang kejadian, beliau berkata bahawa hanya kucing dan anjing yang biasa berbuat demikian, dan tidak pernah sekali arnab berbuat demikian,” katanya.
Ekoran kejadian itu, Dory telah diangkat menjadi ahli kehormat Persatuan Kebajikan Arnab di negara itu.
Petanda
Doktor haiwan, Zulkifle Nizam berkata, haiwan seperti kucing mempunyai naluri untuk membalas perlakuan manusia kepadanya.
“Haiwan boleh ‘membaca’ manusia. Haiwan memahami manusia cuma ia tidak boleh bercakap sahaja.
“Kucing adalah sejenis binatang yang jika kita sayang ia, ia akan sayang kita. Ia biasanya akan menunjukkan rasa sayang kepada tuannya dengan menunjukkan apa yang didapatinya. Apa sahaja yang ditangkap akan ditunjuk kepada kita,” katanya.
Zulkifle memberitahu, tidak semua haiwan akan bertindak berani bertarung apabila ia menemui pemangsa yang lain.
“Jika kucing domestik ia mungkin mempunyai jiwa untuk bertarung kerana ia mempunyai kacukan Asian Leopard Cat (kucing hutan) berbanding kucing berbulu panjang seperti kucing Parsi,” katanya.
Sementara itu, doktor haiwan, Dr. Nurafiqah Ahmad berkata, apabila kita memberi makan seekor kucing dan kucing itu mahu mengikut kita pulang, ia mungkin petanda kucing itu sedia untuk berbakti kepada kita.
“Kucing setahu saya haiwan yang sangat setia dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan tuannya. Ia menunjuk ciri-ciri mahu menghargai.
“Daripada pengalaman saya juga, kucing jalanan yang kita ambil dan pelihara lebih sayang dan menghargai kita berbanding kucing yang kita beli,” katanya.


Artikel Penuh:kosmo
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment