Monday, November 14, 2016

Idea California keluar dari AS semakin dapat


SEORANG penunjuk perasaan berlari sambil membawa bendera yang dibakar di Oakland, California kelmarin.


LOS ANGELES – Sebilangan penduduk California mahu negeri itu keluar dari Amerika Syarikat (AS) kerana tidak berpuas hati calon Parti Republikan, Donald Trump akan dilantik sebagai Presiden AS selepas memenangi pilihan raya minggu ini.
Walaupun ramai pemerhati berkata, Negeri Emas itu tiada langsung peluang untuk menjadi negara berasingan, idea itu mendapat sokongan penduduk California yang kecewa dengan kejutan pilihan raya baru-baru ini.
Ramai antara mereka kini berasa seperti orang asing di sebuah negara asing.
“Keputusan pilihan raya menjadi isyarat perpisahan untuk California,” kata seorang penyelidik badan pemikir Institut Milken, Kevin Klowden.
“Calon Presiden yang kalah (Hillary Clinton) telah memenangi hati warga California,” ujarnya.
Negeri itu dikenali kerana aktif memperjuangkan isu seperti alam sekitar, undang-undang senjata api dan hak gay.
Sebaliknya, platform anti imigran Trump, pendiriannya yang menyokong penggunaan senjata api dan sikap sinisnya terhadap perubahan iklim jauh berbeza dengan pendirian kebanyakan penduduk California.
Sejurus, selepas Trump diisytiharkan pemenang, penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan raya di ibu negeri California, Sacramento, bandar raya Los Angeles dan bandar-bandar lain untuk menyuarakan kekecewaan mereka.
Hashtag #Calexit juga menjadi trend terbaharu media sosial bersama #notmypresident.
Sebelum ini, gerakan Britain keluar daripada Kesatuan Eropah dikenali dengan singkatan Brexit.
“Saya benci ketaksuban, seksis dan xenofobia. Saya bukan lagi warganegara AS. Saya kini rakyat California,” kata seorang pengguna Twitter.
Dalam pada itu, pelabur Lembah Silikon, Shervin Pishevar yang berdarah Iran-AS berkata, dia sanggup membiayai kempen California keluar daripada AS.
“Sekiranya Trump menang, saya mengumumkan dan membiayai sebuah kempen supaya California menjadi sebuah negara sendiri,” katanya dalam mesej di Twitter Selasa lalu ketika Trump semakin hampir mengalahkan Clinton.
California mempunyai hampir 40 juta penduduk dan merupakan antara negeri yang didiami oleh pelbagai bangsa dan agama dengan masyarakat Latin dan etnik lain adalah lebih ramai daripada penduduk kulit putih.
Pada tahun 2015, Dana Kewangan Antarabangsa menyenaraikan California sebagai ekonomi keenam terbesar dunia, mengatasi Perancis dan India. – AFP


sumber:kosmo
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment