Sunday, February 19, 2017

KL ATCC Di Sepang Jadi Mercu Tanda Industri Penerbangan Awam Negara - Najib

BENTUK WAU ... Bangunan 'Kuala Lumpur Air Traffic Control Center' (KL ATCC) yang akan dibina berhampiran KLIA. Upacara pecah tanah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa

SEPANG, 14 Feb (Bernama) -- Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara (KL ATCC) baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bakal menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika merasmikan majlis pecah tanah kompleks bernilai RM650 juta itu hari ini, Najib berkata KL ATCC baharu itu akan membentuk satu lagi pencapaian dalam program transformasi negara bagi meningkatkan mutu penyampaian awam.

"Jika perkhidmatan trafik udara diuruskan dengan teratur dan efisien sudah pasti ia akan membuahkan rasa percaya dan yakin terhadap industri penerbangan dan pengangkutan udara di Malaysia.

"Ia akan membuktikan bahawa kita tiada kompromi dalam memastikan perkhidmatan yang terbaik, cekap dan paling penting, selamat," katanya.

Kompleks itu menempatkan operasi Kawalan Trafik Udara bagi Ruang Udara Kuala Lumpur yang dikenali sebagai 'Kuala Lumpur Flight Information Region' (KL FIR) bagi menjadi tunjang utama bagi keseluruhan trafik udara di negara ini termasuk sebagai pusat koordinasi Sistem Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Najib berkata projek KL ATCC itu merupakan titik permulaan pelaksanaan penstrukturan semula ruang udara KL FIR apabila ia siap dibina.

Penstrukturan semula ruang udara KL FIR itu akan membolehkan KLIA, satu-satunya lapangan terbang di rantau ini, beroperasi pada tahap maksimum melalui operasi tiga landasan secara serentak.

"Operasi secara serentak ini disasarkan dapat mempertingkat kapasiti landasan di KLIA secara keseluruhannya daripada 78 kepada 108 pergerakan pesawat sejam, yang merupakan antara tertinggi di dunia," katanya.

Peningkatan itu, katanya, dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara melalui perkembangan industri penerbangan negara yang berterusan.

Najib turut mengumumkan DCA akan ditransformasikan sebagai badan berkanun yang dikenali sebagai Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya pertengahan tahun ini.

Penubuhan CAAM itu akan memastikan urusan membabitkan industri penerbangan awam Malaysia memenuhi piawaian dan tatacara keselamatan penerbangan awam yang disyorkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), katanya.

Perdana Menteri berkata penubuhan CAAM itu akan memberi kebebasan kepada badan itu untuk menyusun dan menempatkan pegawai teknikal berkelayakan bagi memastikan obligasi Malaysia dalam memastikan keselamatan industri penerbangan awam negara adalah selaras dengan aspirasi ICAO.

Menurutnya, Malaysia telah menubuhkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 1 Mac tahun lepas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam di negara ini.

Hadir pada majlis pecah tanah kompleks yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya penghujung 2019 itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi dan Ketua Pengarah Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Liow berkata dengan pembinaan KL ATCC baharu itu, KLIA mampu memberi lebih banyak ruang kepada pesawat untuk mendarat pada waktu puncak atau slot premium.

"Slot premium ini biasanya pada waktu pagi hingga tengah hari dan waktu malam antara 6 petang hingga 8 malam.

"Lapangan terbang di negara lain, mereka beri slot mendarat tengah malam atau awal pagi dan ini menjadikan lapangan terbang itu tidak berdaya saing," katanya.

Menurut Liow, ketika ini hanya dua lapangan terbang di rantau Asia iaitu Beijing dan Shanghai, China yang berupaya beroperasi pada tahap maksimum melalui operasi tiga landasan secara serentak.

Katanya KL ATCC juga akan menjadi pusat pentadbiran dan pejabat pengurusan operasi yang lengkap dengan prasarana seperti teater, dewan serba guna dan ruang istirehat untuk memberi keselesaan kepada pengawal trafik udara, sekali gus memastikan penerbangan selamat menuju ke destinasi.

Terdahulu dalam ucapannya, Liow berkata satu operasi sistem pengawasan berasaskan satelit iaitu 'Automatic Dependent Surveillance - Broadcast' (ADS-B) akan diperkenalkan, selari dengan sasaran 'Aviation System Block Upgrade' (ASBU) yang ditetapkan ICAO.

Katanya sistem itu dapat membantu pengawal trafik udara memperoleh maklumat kedudukan pesawat dengan lebih tepat dan melaksanakan penggunaan ruang udara yang lebih efisien serta membolehkan liputan pengawasan dengan kos pembangunan dan penyelenggaraan jauh lebih murah berbanding sistem berasaskan radar.

"Sistem ini juga dijangka mampu mempertingkat keberkesanan sistem SAR dalam usaha mengesan lokasi pesawat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment